Monday, December 15, 2008

saya nak cerita.

HUTAN Pamah Kije tenang tidak terganggu. Air Sungai Gantang masih jernih dan menyegarkan. Mengalir perlahan-lahan di celah-celah batu. Sejuk. Ada ikan bermain hilir mudik. Menangkap buah ara yang jatuh apabila masuk.

Sekalian binatang yang ada di hutan itu hidup aman damai. Sama-sama mencari makan dengan bebas. Tidak ada bunuh membunuh. Tidak ada hasad dan dengki antara satu sama lain.

Memang rezeki di hutan itu masih mewah. Banyak buah-buah kayu yang masak ranum. Banyak pokok-pokok yang sentiasa bertaruk muda. Banyak akar dan ubi yang sentiasa berisi.

Buah-buahan tidak bermusim. Ia sentiasa ada. Berbuah berganti-ganti. Masak bergilir ganti. Dan sekalian binatang dalam hutan itu hidup dengan bebas sebebas-bebasnya.

Mak Harimau dan Mak Rusa telah lama bersahabat baik. Kedua-dua mereka masing-masing mempunyai anak seekor dua seorang. Anak Mak Harimau jantan bernama Sang Belang. Mak Rusa pula mempunyai seekor anak betina dinamakannya Sang Merah.

Mereka juga sama-sama hidup dengan bebas di Hutan Pamah Kije. Mereka sentiasa sama-sama ke sana ke mari dalam hutan itu empat beranak. Kehidupan mereka sudah mesra betul.

Mereka juga sama-sama mencari rezeki masing-masing di hutan itu. Mak Harimau selalu menangkap tikus untuk makanannya serta Sang Belang. Kadang-kadang Mak Harimau terjun ke dalam Sungai Gantang menangkap ikan. Sang Belang juga selalu diajar oleh Mak Harimau menangkap ikan dalam sungai.

Makanan Mak Rusa pula ialah taruk-taruk kayu dan buah-buahan. Ia selalu mengajar Sang Merah tentang daun mana yang manis dan daun mana yang pahit. Pucuk mana yang lembut dan pucuk mana yang keras. Kadang-kadang dia mengajar Sang Merah makan buah terap atau peradung yang gugur.

Walaupun makanan mereka berbeza tetapi persahabatan Mak Harimau dan Mak Rusa serta anak-anak mereka tetap erat. Makin sehari semakin teguh. Mereka tidak boleh berpisah lagi.

Mak Harimau dan Mak Rusa sangat gembira melihat kedua-dua anak mereka amat mesra antara satu sama lain itu. Mereka bagaikan dua beradik yang tidak boleh berpisah lagi. Mereka akan sama-sama bermain. Sama-sama mandi di Sungai Gantang. Sama-sama tidur dalam belukar yang sedikit hangat hawanya bila malam hari.

Pada suatu hari ketika petang telah rendah Mak Harimau dan Mak Rusa sama-sama pulang dari mencari makan. Kedua-dua anak mereka Sang Belang dan Sang Merah turut bersama-sama. Perjalanan mereka hari itu agak jauh dari biasa.

Mereka berjalan turun naik empat lima buah bukit dalam hutan itu.

Dalam perjalanan pulang ke Sungai Gantang tiba-tiba angin bertiup terlalu kencang. Langit hitam. Seluruh pohon-pohon di Hutan Pamah Kije yang luas itu bergoyang. Bagaikan tercabut layaknya.

“Tentunya hujan ribut akan turun”, kata Mak Rusa kepada Mak Harimau.

“Ya, ya”, jawab Mak Harimau.

Mereka berlarian secepat mungkin untuk tiba ke Tebing Sungai Gantang. Sang Belang dan Sang Merah juga turut berlari sekuatnya. Mengikut denai-denai yang memang mereka sudah biasa itu.

Hari semakin gelap. Angin semakin kuat. Kemudian hujan pun turun dengan lebatnya. Sekejap sahaja air mengalir di atas tanah bukit yang merah. Tanah menjadi licin. Mak Harimau dan Mak Rusa bersama dua ekor anak mereka terus berlari untuk sampai ke Sungai Gantang.

Hujan yang lebat dan angin yang kuat menyukarkan mereka mengenali denai. Tanah yang licin selalu sahaja menjadikan mereka tergelincir. Kadang-kadang terbabas dan salah jalan. Berpusing-pusing. Kilat yang mula sabung-menyabung dengan guruh bertalu-talu menjadikan mereka empat beranak begitu ketakutan.

Sedang tebing Sungai Gantang halaman tempat tinggal mereka masih jauh di hadapan.

Kini ternyata Mak Harimau yang berlari di hadapan sekali sering terbabas. Denai yang dilaluinya sudah tidak tepat lagi. Dia cuba menggunakan hidungnya untuk membetulkan jalan. Air hujan yang lebat menghilangkan segala bau yang dapat dijadikan pedoman.

Badan mereka sudah basah kuyup. Lumpur sudah mula memenuhi badan. Sang Belang dan Sang Merah sudah mula keletihan dan takut dalam hujan ribut begitu. Tidak pernah mereka alami ribut dan hujan seburuk ini.

Mahu tidak mahu Mak Rusa terpaksa menjadi kepala jalan kini. Dia menggunakan mata dan hidungnya untuk mengenal denai menghala ke Sungai Gantang.

Mak Rusa melompat dari satu lompatan ke satu lompatan. Mengepalai jalan. Di belakangnya Mak Harimau, Sang Belang dan Sang Merah tekun mengikut.

Sesekali Mak Rusa hampir tergelincir apabila kukunya tidak lagi mencengkam tanah kerana licin. Tetapi Mak Rusa yakin bahawa denai yang diikutinya kini adalah menuju Sungai Gantang. Sungai Gantang tempat mereka.

Mereka yakin melangkah dua bukit lagi mereka akan sampai ke Sungai Gantang. Namun, hujan masih lebat. Suasana sudah bertukar menjadi malam yang gelap. Angin bertambah kencang. Ribut menjadi-jadi. Sesekali kilat memancar menerangi hutan. Diikuti dengan guruh berdentum menakutkan.

Ketika menurun bukit yang sudah licin benar satu pancaran kilat menyambar di hadapan.

“Auuuuuuuuummmmmmm!” Mak Harimau memberi amaran.

Ia melihat satu pokok besar mula bergerak untuk tumbang di hadapan. Sang Belang dan Sang Merah di belakang Mak Harimau terhenti melompat bila terlanggar kepada Mak Rusa.

Berderak kuat bunyinya mengatasi bunyi ribut yang kencang. Kilat menyambar lagi. Ternyata pokok besar itu sudah hampir melayang. Mak Rusa tidak mendengar amaran Mak Harimau. Dia telah jauh di hadapan dalam lompatannya.

“Bruuuuuummmmmmmm!!” Satu bunyi gamat mengatasi suara yang kencang. Kilat menyambar lagi. Hutan menjadi terang sebentar.

Mak Harimau yakin memang pohon besar itu telah menyembah bumi. Hatinya cemas. Dia melompat sekuat hati ke arah kayu yang tumbang. Diikuti oleh Sang Belang dan Sang Merah.

Untuk seketika dia mencari Mak Rusa di sekitar. Dalam hujan dan suasana yang gelap itu, Sang Belang dan Sang Merah juga mencari Mak Rusa. Tidak berjumpa.

Satu pancaran kilat yang bertalu-talu menerangi lagi hutan itu. Mak Harimau menerkam ke pangkal pokok yang tumbang. Dia melihat tanduk cantuk Mak Rusa. Dia melihat tubuh Mak Rusa. Mak Harimau datang lebih hampir. Ternyata Mak Rusa berada di bawah pangkal pokok kayu yang tumbang itu. Badannya tertindih di bawah pokok itu. Ditutup oleh daunan yang merimbun.
“Auuuuuuuummmmmmm!!” Mak Harimau meraung sekuatnya.

Bergema suaranya mengatasi hujan ribut dalam hutan itu.

Sebentar kemudian Sang Belang dan Sang Merah sudah berada di sisinya. Mereka sudah jelas tentang apa yang terjadi kini.

Sang Merah meraung sekuat hati apabila melihat ibunya tidak bernyawa lagi itu. Dia melompat ke sana ke mari. Sang Belang begitu pilu melihat apa yang terjadi di hadapannya. Dia menyentuh tubuh Mak Rusa dengan hidungnya. Ternyata Mak Rusa sudah tidak bernyawa lagi.

Meninggalkan tubuh Mak Rusa yang sudah tidak bernyawa itu mereka akhirnya menuju ke Sungai Gantang. Kini, Mak Harimaulah yang menjadi kepala jalan.

Sampai di Sungai Gantang ribut telah mula reda. Kilat dan guruh sudah tidak ada lagi. Di dalam semak belukar tempat yang selalu melindungi mereka di waktu malam mereka tidur tiga beranak kini. Mak Rusa sudah tidak ada lagi.

Sang Merah sangat susah hati mengenangkan ibunya itu.

Siang esoknya pagi-pagi lagi Mak Harimau, Sang Belang dan Sang Merah pergi lagi ke tempat Mak Rusa ditimpa pokok itu.

Mereka melihat tubuh Mak Rusa tidak bergerak. Mereka melihat tanduk Mak Rusa yang patah. Banyak air bertakung si sekeliling Mak Rusa petaka ribut malam tadi.

Akhirnya, mereka meninggalkan tempat tersebut. Balik ke Sungai Gantang dengan hati yang pilu.

5:37 PM