Monday, December 15, 2008

KEMATIAN Mak Rusa dalam kemalangan ngeri itu tambah merapatkan keeratan keluarga Mak Harimau, Sang Belang dan Sang Merah.

Kini Sang Harimau mengambil tempat Mak Rusa. Dia menyayangi Sang Merah serupa juga dia menyayangi Sang Belang. Kasihnya kepada dua anak itu tidak kurang dari dahulu. Ketiadaan Mak Rusa menjadikan kasihnya kepada Sang Belang dan Sang Merah makin bertambah.

Rezeki di pinggir Sungai Gantang dan Hutan Pamah Kije tidak pernah berkurang. Mereka hidup dengan bebas dan mewah. Dari sehari ke sehari Sang Merah sudah mula dapat melupakan peristiwa sedih yang menimpanya. Dari sehari ke sehari juga kasihnya kepada Mak Harimau dan Sang Belang juga makin bertambah.

Mereka akan sama-sama mencari makan. Mereka akan sama-sama berenang di sungai. Mereka akan sama-sama tidur di belukar.

Kalau sudah jemu bermain di pinggir Sungai Gantang, mereka akan sama-sama naik ke bukit-bukit di Hutan Pamah Kije itu. Atau kadang-kala Sang Merah akan duduk sahaja di atas tebing melihat Mak harimau dan Sang Belang menangkap ikan di Sungai Gantang.

Sang Merah akan meragut-ragut taruk-taruk muda yang enak di pohon-pohon rendah sepanjang pinggir Sungai Gantang itu.

Suatu hari ketika Sang Merah sedang bermain-main dengan Sang Belang di tebing sungai itu, tiba-tiba sahaja Sang Merah teringat kepada ibunya.

Air matanya mula menitis.

Sang Belang menjadi hairan melihat Sang Merah berubah tiba-tiba itu.

“Aku teringat kepada ibuku, Belang”, kata Sang Merah.

“Bukankah ibuku ada dan dia serupa juga dengan ibumu”, kata Sang Belang.

“Tapi aku masih juga teringat kepada ibuku”, kata Sang Merah lagi. Air matanya kian menitis.

Sang Belang menjadi sayu apabila melihat Sang Merah begitu.

Sejak dari hari itu hiduplah Sang Belang dan Sang Merah bagaikan dua beradik satu ayah satu ibu yang tidak boleh dipisahkan. Mereka sama-sama mencari makan.

Kalau Sang Belang menangkap ikan di Sungai Gantang, Sang Merah akan duduk di atas tebing menunggunya. Kadang-kadang Sang Merah akan menolong Sang Belang mengepung tikus yang diburu oleh Sang Belang. Sang Merah juga selalu menemani Sang Belang mencari ikan di Sungai Gantang itu.

Sang belang pula selalu menemankan Sang Merah mencari taruk-taruk muda yang banyak di pinggir Sungai Gantang itu juga. Kadang-kadang mereka akan pergi ke bukit lain untuk mencari buah-buah kayu yang jatuh atau luruh untuk dimakan oleh Sang Merah.

Sang Belang pandai memanjat. Dia juga selalu memanjat mematahkan dengan gigi atau kukunya segala pucuk muda yang tidak sampai oleh Sang Merah.

Pada malam hari pula mereka akan sama-sama tidur di bawah rimbunan belukar-belukar kecil di pinggir Sungai Gantang. Jika hujan lebat mereka akan pindah ke tempat-tempat yang terlindung dan selamat di kaki bukit. Di situ ada lubang-lubang yang besar kesan dari tanah runtuh. Di dalam lubang-lubang itulah mereka akan tidur.

Di kawasan Hutan Pamah Kije itu mereka hidup bebas dengan binatang-binatang yang lain. Tidak ada ganggu mengganggu antara satu sama lain.

Sang Belang dan Sang Merah bermain sehari semakin besar. Menjadikan mereka sebagaimana binatang-binatang lain juga. Tangkas berlari dan melompat. Pandai berenang. Sang Belang pula pandai memanjat. Mereka pantas menghambur.

Sang Merah menjadi seekor rusa dara yang cantik. Badannya lesuh. Kulitnya merah. Berkilat-kilat. Bulu tengkuk Sang Merah semakin lebat. Hitam.

Tubuhnya gempal. Tubuhnya gempal kerana banyak daun-daun yang dimakannya adalah taruk muda yang enak.

Sang Belang juga membesar seperti Sang Merah. Namun demikian, Sang Belang agak kurus sedikit. Ini ialah kerana makanan Sang Belang agak sukar didapati. Dia terpaksa menangkap ikan di Sungai Gantang. Atau mencari tikus yang berkeliaran di mana-mana.

Makanan Sang Merah ada di mana-mana dengan banyak dan enak. Sedangkan makanan Sang Belang sukar didapati. Bagaimanapun, Sang Merah selalu menolong Sang Belang mendapatkan makanannya. Mereka selalu memburu tikus di belukar-belukar sekitar Sungai Gantang dan mencari ikan di sungai itu.

Walaupun makanan kedua-dua mereka tidak serupa tetapi keadaan itu tidak pernah merenggangkan kasih antara mereka berdua.

Persahabatan mereka tetap erat. Erat sebagaimana waktu Mak Rusa dan Mak Harimau masih ada. Kasih itu tidak pernah luntur. Kini, Sang Belang dan Sang Merah menjadi seperti binatang lain juga bertanggungjawab mencari makan untuk diri sendiri. Kedua-duanya sentiasa tolong-menolong antara satu sama lain.

Suara mereka bersua kini sering terdengar di kawasan Hutan Pamah Kije itu.

Jika Sang Belang mengaum suaranya akan menggegarkan kawasan hutan itu. Akan menakutkan binatang-binatang lain.

Jika Sang Merah berbunyi pula suaranya akan terdengar sampai di kejauhan berbukit-bukit. Suaranya yang nyaring itu akan berbunyi menandakan kedamaian kawasan Hutan Pamah Kije itu. Binatang-binatang lain tahu bila Sang Merah berbunyi ertinya memberitahu tidak ada kecelakaan yang berlaku.

Sang Merah selalu berbunyi dengan suara yang nyaring jika musim buah kayu telah masak. Dan suaranya amat dikenali oleh kera dan beruk yang ada di hutan itu. Kera-kera itu akan datang ke pinggir Sungai Gantang untuk makan buah-buah yang masak itu.

Segala jenis burung juga akan datang ke pinggir Sungai Gantang. Mereka datang ada yang berkawan. Ada yang datang bersendirian.

Apabila tiba musim buah begitu pinggir Sungai Gantang menjadi tempat tumpuan segala binatang yang lain juga. Begitulah biasanya pada setiap musim.

Semua binatang itu bagaikan tahu pula bahawa kawasan tersebut adalah tempat kediaman Sang Belang dan Sang Merah.

Binatang-binatang lain juga termasuk burung-burung menganggapkan persahabatan erat dua ekor binatang itu adalah amat ganjil.


7:55 PM


saya nak cerita.

HUTAN Pamah Kije tenang tidak terganggu. Air Sungai Gantang masih jernih dan menyegarkan. Mengalir perlahan-lahan di celah-celah batu. Sejuk. Ada ikan bermain hilir mudik. Menangkap buah ara yang jatuh apabila masuk.

Sekalian binatang yang ada di hutan itu hidup aman damai. Sama-sama mencari makan dengan bebas. Tidak ada bunuh membunuh. Tidak ada hasad dan dengki antara satu sama lain.

Memang rezeki di hutan itu masih mewah. Banyak buah-buah kayu yang masak ranum. Banyak pokok-pokok yang sentiasa bertaruk muda. Banyak akar dan ubi yang sentiasa berisi.

Buah-buahan tidak bermusim. Ia sentiasa ada. Berbuah berganti-ganti. Masak bergilir ganti. Dan sekalian binatang dalam hutan itu hidup dengan bebas sebebas-bebasnya.

Mak Harimau dan Mak Rusa telah lama bersahabat baik. Kedua-dua mereka masing-masing mempunyai anak seekor dua seorang. Anak Mak Harimau jantan bernama Sang Belang. Mak Rusa pula mempunyai seekor anak betina dinamakannya Sang Merah.

Mereka juga sama-sama hidup dengan bebas di Hutan Pamah Kije. Mereka sentiasa sama-sama ke sana ke mari dalam hutan itu empat beranak. Kehidupan mereka sudah mesra betul.

Mereka juga sama-sama mencari rezeki masing-masing di hutan itu. Mak Harimau selalu menangkap tikus untuk makanannya serta Sang Belang. Kadang-kadang Mak Harimau terjun ke dalam Sungai Gantang menangkap ikan. Sang Belang juga selalu diajar oleh Mak Harimau menangkap ikan dalam sungai.

Makanan Mak Rusa pula ialah taruk-taruk kayu dan buah-buahan. Ia selalu mengajar Sang Merah tentang daun mana yang manis dan daun mana yang pahit. Pucuk mana yang lembut dan pucuk mana yang keras. Kadang-kadang dia mengajar Sang Merah makan buah terap atau peradung yang gugur.

Walaupun makanan mereka berbeza tetapi persahabatan Mak Harimau dan Mak Rusa serta anak-anak mereka tetap erat. Makin sehari semakin teguh. Mereka tidak boleh berpisah lagi.

Mak Harimau dan Mak Rusa sangat gembira melihat kedua-dua anak mereka amat mesra antara satu sama lain itu. Mereka bagaikan dua beradik yang tidak boleh berpisah lagi. Mereka akan sama-sama bermain. Sama-sama mandi di Sungai Gantang. Sama-sama tidur dalam belukar yang sedikit hangat hawanya bila malam hari.

Pada suatu hari ketika petang telah rendah Mak Harimau dan Mak Rusa sama-sama pulang dari mencari makan. Kedua-dua anak mereka Sang Belang dan Sang Merah turut bersama-sama. Perjalanan mereka hari itu agak jauh dari biasa.

Mereka berjalan turun naik empat lima buah bukit dalam hutan itu.

Dalam perjalanan pulang ke Sungai Gantang tiba-tiba angin bertiup terlalu kencang. Langit hitam. Seluruh pohon-pohon di Hutan Pamah Kije yang luas itu bergoyang. Bagaikan tercabut layaknya.

“Tentunya hujan ribut akan turun”, kata Mak Rusa kepada Mak Harimau.

“Ya, ya”, jawab Mak Harimau.

Mereka berlarian secepat mungkin untuk tiba ke Tebing Sungai Gantang. Sang Belang dan Sang Merah juga turut berlari sekuatnya. Mengikut denai-denai yang memang mereka sudah biasa itu.

Hari semakin gelap. Angin semakin kuat. Kemudian hujan pun turun dengan lebatnya. Sekejap sahaja air mengalir di atas tanah bukit yang merah. Tanah menjadi licin. Mak Harimau dan Mak Rusa bersama dua ekor anak mereka terus berlari untuk sampai ke Sungai Gantang.

Hujan yang lebat dan angin yang kuat menyukarkan mereka mengenali denai. Tanah yang licin selalu sahaja menjadikan mereka tergelincir. Kadang-kadang terbabas dan salah jalan. Berpusing-pusing. Kilat yang mula sabung-menyabung dengan guruh bertalu-talu menjadikan mereka empat beranak begitu ketakutan.

Sedang tebing Sungai Gantang halaman tempat tinggal mereka masih jauh di hadapan.

Kini ternyata Mak Harimau yang berlari di hadapan sekali sering terbabas. Denai yang dilaluinya sudah tidak tepat lagi. Dia cuba menggunakan hidungnya untuk membetulkan jalan. Air hujan yang lebat menghilangkan segala bau yang dapat dijadikan pedoman.

Badan mereka sudah basah kuyup. Lumpur sudah mula memenuhi badan. Sang Belang dan Sang Merah sudah mula keletihan dan takut dalam hujan ribut begitu. Tidak pernah mereka alami ribut dan hujan seburuk ini.

Mahu tidak mahu Mak Rusa terpaksa menjadi kepala jalan kini. Dia menggunakan mata dan hidungnya untuk mengenal denai menghala ke Sungai Gantang.

Mak Rusa melompat dari satu lompatan ke satu lompatan. Mengepalai jalan. Di belakangnya Mak Harimau, Sang Belang dan Sang Merah tekun mengikut.

Sesekali Mak Rusa hampir tergelincir apabila kukunya tidak lagi mencengkam tanah kerana licin. Tetapi Mak Rusa yakin bahawa denai yang diikutinya kini adalah menuju Sungai Gantang. Sungai Gantang tempat mereka.

Mereka yakin melangkah dua bukit lagi mereka akan sampai ke Sungai Gantang. Namun, hujan masih lebat. Suasana sudah bertukar menjadi malam yang gelap. Angin bertambah kencang. Ribut menjadi-jadi. Sesekali kilat memancar menerangi hutan. Diikuti dengan guruh berdentum menakutkan.

Ketika menurun bukit yang sudah licin benar satu pancaran kilat menyambar di hadapan.

“Auuuuuuuuummmmmmm!” Mak Harimau memberi amaran.

Ia melihat satu pokok besar mula bergerak untuk tumbang di hadapan. Sang Belang dan Sang Merah di belakang Mak Harimau terhenti melompat bila terlanggar kepada Mak Rusa.

Berderak kuat bunyinya mengatasi bunyi ribut yang kencang. Kilat menyambar lagi. Ternyata pokok besar itu sudah hampir melayang. Mak Rusa tidak mendengar amaran Mak Harimau. Dia telah jauh di hadapan dalam lompatannya.

“Bruuuuuummmmmmmm!!” Satu bunyi gamat mengatasi suara yang kencang. Kilat menyambar lagi. Hutan menjadi terang sebentar.

Mak Harimau yakin memang pohon besar itu telah menyembah bumi. Hatinya cemas. Dia melompat sekuat hati ke arah kayu yang tumbang. Diikuti oleh Sang Belang dan Sang Merah.

Untuk seketika dia mencari Mak Rusa di sekitar. Dalam hujan dan suasana yang gelap itu, Sang Belang dan Sang Merah juga mencari Mak Rusa. Tidak berjumpa.

Satu pancaran kilat yang bertalu-talu menerangi lagi hutan itu. Mak Harimau menerkam ke pangkal pokok yang tumbang. Dia melihat tanduk cantuk Mak Rusa. Dia melihat tubuh Mak Rusa. Mak Harimau datang lebih hampir. Ternyata Mak Rusa berada di bawah pangkal pokok kayu yang tumbang itu. Badannya tertindih di bawah pokok itu. Ditutup oleh daunan yang merimbun.
“Auuuuuuuummmmmmm!!” Mak Harimau meraung sekuatnya.

Bergema suaranya mengatasi hujan ribut dalam hutan itu.

Sebentar kemudian Sang Belang dan Sang Merah sudah berada di sisinya. Mereka sudah jelas tentang apa yang terjadi kini.

Sang Merah meraung sekuat hati apabila melihat ibunya tidak bernyawa lagi itu. Dia melompat ke sana ke mari. Sang Belang begitu pilu melihat apa yang terjadi di hadapannya. Dia menyentuh tubuh Mak Rusa dengan hidungnya. Ternyata Mak Rusa sudah tidak bernyawa lagi.

Meninggalkan tubuh Mak Rusa yang sudah tidak bernyawa itu mereka akhirnya menuju ke Sungai Gantang. Kini, Mak Harimaulah yang menjadi kepala jalan.

Sampai di Sungai Gantang ribut telah mula reda. Kilat dan guruh sudah tidak ada lagi. Di dalam semak belukar tempat yang selalu melindungi mereka di waktu malam mereka tidur tiga beranak kini. Mak Rusa sudah tidak ada lagi.

Sang Merah sangat susah hati mengenangkan ibunya itu.

Siang esoknya pagi-pagi lagi Mak Harimau, Sang Belang dan Sang Merah pergi lagi ke tempat Mak Rusa ditimpa pokok itu.

Mereka melihat tubuh Mak Rusa tidak bergerak. Mereka melihat tanduk Mak Rusa yang patah. Banyak air bertakung si sekeliling Mak Rusa petaka ribut malam tadi.

Akhirnya, mereka meninggalkan tempat tersebut. Balik ke Sungai Gantang dengan hati yang pilu.

5:37 PM


hari ini saya tak buat apa musin cuti sekolah.saya tat pergi mana-mana pun kalau pergi jalan-jalanturun bawah.lagipun mak sambung belajar di IPTB kalau mak balik baru pergi jalan-jalan beli barang dapur dekat tesco tu tapi balik rumah naik dah tinkat 6 naik tak ada lif penak kalau balik cari bantal atau minum air tu je.

5:18 PM